'Saya tak ada buku cikgu, ayah belum dapat gaji lagi'

loading...
'Saya tak ada buku cikgu, ayah belum dapat gaji lagi'
Pelajar itu menunjukkan tiada minat dalam topik yang dibincangkan, lalu cikgu ini bertanya di mana bukunya. Rupa-rupanya dia masih belum membeli buku, ayahnya masih belum dapat gaji. Apa yang cikgu ini buat? Pengorbanan kecil tetapi amat berharga bagi mereka yang pernah melalui situasi seperti ini. Hargailah guru kita, sebarkanlah kebaikan guru pada semua.

Foto Hiasan Sahaja | Google Images
Semasa saya mengajar di dalam sebuah kelas tingkatan satu minggu lalu, saya memulakan pengajaran tentang koordinat seperti biasa. Selalunya saya akan semak dan memastikan setiap pelajar ada buku sehinggalah ke seorang pelajar yang duduk di belakang sekali. 
Wajahnya kelam, saya perasan dia seperti tiada minat dalam topik yang dibincangkan. Lalu saya pun bertanya.
"Buku kamu mana?"
Dia mendiamkan diri. 
"Cikgu tanya ni, buku mana?"
"Tak ada cikgu.." jawabnya. 
"Tinggal di rumah atau memang tak beli lagi?" 
"Belum beli lagi, cikgu," jawabnya. 
"Sekarang dah bulan Februari, kamu dah tertinggal banyak. Kenapa tak beritahu cikgu?" 
"Ayah kata, dia belum dapat gaji lagi, cikgu. Ayah kata, kalau dia dah dapat gaji nanti, dia akan belikan buku," dia tunduk. 
Hati saya terasa seperti dirobek. 
"Baiklah, pastikan kamu ada buku supaya tidak ketinggalan lagi," 
Dia sekadar mengangguk lemah dan wajahnya masih kelam. 
Saya meneruskan pengajaran, kerongkong terasa kelat dan pahit sekali. Masa ini, saya rasa nak pang mulut laju-laju sebab marah dia tak ada buku. Bukan apa, kalau namanya subjek Geografi, adakala murid sambil lewa dan kadang-kadang menjawab kita dengan selamba, 
"Tak bawa cikgu, kat ghumah. Cia cia cia."
Keesokan harinya saya meminta pada guru koperasi untuk bawakan saya sebuah buku Aktiviti Geografi dari koperasi. 
Waktu kelas terakhir hari itu, saya masuk lagi ke bilik kelas pelajar berkenaan. Seperti biasa, saya tawaf keliling bilik darjah dan memeriksa setiap pelajar agar mereka bersedia. Sampai pada pelajar itu, saya berhenti dan serahkan buku itu kepadanya dan dia terkejut. 
"Awak guna buku ini, ya?" kata saya pada dia. 
Dia mengangkat wajahnya, matanya bercahaya, ada riak gembira di wajahnya. Terus dia mengangkat beg dan bukunya ke meja kosong di hadapan sekali dan mengambil bahagian dalam pelajaran dengan baik serta sangat responsif. Malah, semua soalan dijawab dengan baik dan bersemangat. 
Tamat kelas hari itu, selepas mengucapkan terima kasih kepada saya, dia mengejar saya dari belakang untuk memulangkan buku itu. 
"Simpan baik-baik, cikgu beri kepada awak. Janji, belajar elok-elok," kata saya padanya. 
Dia meloncat gembira. "Terima kasih cikgu!!!" 
Tiada lagi awan kelam dan mendung di wajahnya. 
Saya menuruni tangga dan memandang kembali saat saya seusia dia. Cikgu juga pernah susah dulu, saya tahu bagaimana rasa dan keadaannya di tempat dia. Terima kasih mak dan ayah yang berhabis dan berkorban untuk saya suatu masa dulu. 
Apalah sangat senaskah buku kalau nak dibandingkan dengan semua topik yang sudah tertinggal. Saya harap semua pelajar saya menjadi anak yang cemerlang di dunia dan akhirat. 
loading...

0 Response to "'Saya tak ada buku cikgu, ayah belum dapat gaji lagi'"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close